Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksMengenai Brunei Darussalam

Nama Rasmi
Negara Brunei Darussalam (dalam bahasa Melayu)
Brunei Darussalam (dalam bahasa Inggeris)

Ibu Negara
​Bandar Seri Begawan
Lokasi Geografi
​Negara Brunei Darussalam terletak di tempat strategik, iaitu di pantai barat laut Pulau Borneo. Jarak penerbangan dari Negara Brunei Darussalam ke kebanyakan negara-negara ASEAN akan memakan masa antara dua hingga tiga jam penerbangan.
Keluasan
​Negara Brunei Darussalam mempunyai keluasan 5,765 km persegi dengan garisan pantai 161 kilometer sepanjang Laut Cina Selatan.
Penduduk
​Jumlah penduduk Negara Brunei Darussalam ialah 406,200 (2009). Negara Brunei Darussalam mempunyai masyarakat pelbagai kaum yang terdiri daripada bangsa Melayu Brunei, Kedayan, Belait, Tutong, Bisaya, Murut dan Dusun. Majoriti penduduk adalah bangsa Melayu yang dianggarkan sebanyak 269,400 orang (2009), diikuti dengan bangsa Cina seramai 44,600 orang dan 92,200 orang daripada bangsa-bangsa lain.

Bahasa
​Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara walau bagaimanapun bahasa Inggeris juga digunakan. Pelbagai dialek Cina dan India juga digunakan oleh masyarakat yang bermastautin di negara ini.

Agama
​Agama Islam adalah agama rasmi Negara Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan sempurna oleh mereka yang mengamalkannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam.

Kerajaan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah Ketua Negara dan Ketua Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Baginda adalah Sultan Brunei Darussalam Ke-29. Selain itu, baginda juga memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan bagi Negara Brunei Darussalam. Baginda dibantu oleh lima badan penasihat yang dinamakan sebagai 1) Majlis Mengangkat Raja, 2) Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri, 3) Majlis Mesyuarat Diraja, 4) Majlis Ugama Islam dan 5) Majlis Mesyuarat Negara.

Negara Brunei Darussalam pernah menjadi sebuah negeri naungan British (Inggeris) pada satu ketika dahulu, iaitu dari tahun 1888 hingga 1983. Dengan izin serta limpah dari Allah jua Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan penuh pada 1 Januari 1984. Negara Brunei Darussalam ditadbir mengikut perlembagaan bertulis yang dimeterai dan dimasyhurkan pada tahun 1959.

Bendera Negara Brunei Darussalam dalam bentuknya yang ada sekarang kecuali lambangnya telah digunakan semenjak tahun 1906 tatkala Brunei menjadi sebuah naungan berikutan dengan satu perjanjian yang ditandatangani antara Brunei dengan Great Britain. Lambang itu telah ditekadkan dalam tahun 1959 selepas Permasyhuran Perlembagaan Bertulis yang bertarikh 29 September 1959.

Sebelum tahun 1906, Negara Brunei Darussalam tidak mempunyai bendera kebangsaan, walau bagaimanapun bendera-bendera perseorangan atau panji-panji peribadi banyak digunakan pada waktu itu. Bendera Sultan dan bendera wazir-wazir adalah yang sangat mustahak antara bendera-bendera perseorangan yang digunakan pada sebelum tahun 1906.

Pada zaman dahulu kala, Brunei mempunyai empat orang wazir atau pembesar-pembesar negara yang terutama, iaitu yang diberikan kuasa-kuasa pemerintahan dan pentadbiran oleh Sultan mengikut pangkat masing-masing. Wazir yang kanan sekali pada masa itu ialah Pengiran Bendahara. Wazir-wazir yang tiga orang lagi jika mengikut kebesaran pangkat masing-masing ialah Pengiran Digadong, Pengiran Pemancha dan Pengiran Temenggong.

Seorang Perdana Wazir dengan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar telah dilantik pada 6 Februari 1970. Mengikut gelarannya Duli Pengiran Perdana Wazir adalah terkanan sekali dari empat orang wazir-wazir yang lain tersebut.

Pengiran Perdana Wazir juga telah dianugerahkan bendera peribadi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan. Bendera bagi Pengiran Perdana Wazir ialah bertanahkan putih dengan lambang panji-panji Kerajaan Brunei yang di’sulai’ dengan keris ‘Si Kikil’ berwarna kuning. Bendera Peribadi Pengiran Bendahara ialah putih, Pengiran Digadong ialah Hijau, Pengiran Pemancha ialah Hitam dan Pengiran Temenggong ialah Merah.

Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria dan Yang Dimuliakan Pehin-pehin juga mempunyai bendera peribadi masing-masing yang dianugerahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Bendera-bendera itu dapat dikenali mengikut bentuk dan warna yang berbeza-beza.

Ketika Negara Brunei Darussalam menandatangani perjanjian pada tahun 1906, maka adalah disedari bahawa Negara ini mestilah mempunyai satu bendera negara supaya selari dengan negara-negara yang lain.

Berbagai cadangan dan rajah telah dikemukakan. Akhirnya bentuk bendera yang ada sekarang yang berwarna kuning, putih dan hitam telah dipersetujui.

Warna bendera wazir-wazir yang lain tidak dimasukkan ke dalam bendera baharu kerana hanya dua orang wazir sahaja, iaitu Pengiran Bendahara dan Pengiran Pemancha yang masih hidup pada ketika perjanjian tersebut ditandatangani. Pengiran Digadong dan Pengiran Temenggong telah mangkat pada ketika itu dan jawatan mereka masih belum diisikan lagi.

Selepas pengiktirafan ke atas bendera negara, maka bendera-bendera yang sememang tersedia dipakai telah terus digunakan dan dikibarkan pada hari-hari istiadat negara untuk mengetahui pangkat seseorang. Bendera negara yang baharu itu telah dikibarkan di pejabat-pejabat kerajaan dan oleh rakyat dan penduduk negara ini.

Bendera yang berbagai-bagai jenis itu telah dikurangkan bilangannya selepas Permasyhuran Perlembagaan Bertulis 1959 agar sedikit sahaja jumlah bendera-bendera yang akan dikibarkan pada hari-hari istiadat negara. Bendera-bendera perseorangan yang dibenarkan khas oleh Sultan sahaja yang akan terus digunakan dan bagi bendera-bendera perseorangan untuk rakyat dan juga Pengiran-pengiran kebanyakan yang telah dihapuskan adalah diarahkan untuk menggunakan bendera negara pada hari-hari istiadat negara.

Antara Pengiran-pengiran dan orang-orang besar yang diberikan kebenaran untuk menggunakan bendera-bendera peribadi ialah:

I.Keturunan Sultan-sultan sampai ke antah,
II.Keturunan Wazir-wazir sampai ke piut,
III.Keturunan Cheteria-cheteria sampai ke cucu,
IV.Menteri-menteri sampai ke Damong.

Bendera-bendera peribadi mereka telah diubah dengan menambah lambang negara yang berwarna merah di atas tanah kuning pada penjuru atas sebelah kiri bendera itu.

Berikutan dengan permasyhuran perlembagaan, beberapa perubahan telah dilaksanakan ke atas bendera-bendera peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri.

Bendera peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan berwarna kuning dan termasuk ke dalamnya lambang Diraja di atas tanah merah dan letaknya di tengah-tengah bendera.

Bendera Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri berwarna kuning muda dan termasuk ke dalamnya lambang Diraja di atas tanah merah dan letaknya di tengah-tengah bendera.

Bendera negara yang berbentuk empat persegi panjang tepat adalah dibahagi kepada empat bahagian, iaitu 2 empat persegi panjang condong dan 2 empat persegi panjang ganjil. Terbentang melintangi empat persegi panjang tepat itu ialah sebuah empat persegi panjang condong yang dimulakan 2 ½ inci ke bawah dari sudut atas sebelah kiri menghala ke sebelah kanan ke bawah yang jaraknya 2 ½ inci juga dari bawah sebelah kanan.

Ukuran bendera biasa ialah 72 inci (1.8m) panjang dan 36 inci (0.9144m) lebar.

Empat persegi condong yang membahagi empat persegi tepat itu telah menjadikan dua empat persegi ganjil, iaitu satu di sebelah atas bendera itu dan satu lagi di sebelah bawah dan yang di bawahnya bertentangan bentuknya dengan yang di sebelah atas.

Empat persegi condong itu dibahagi kepada dua bahagian lain yang tidak sama besarnya sebelah atas lebih satu inci lebarnya dari yang sebelah bawah yang 7 ½ inci lebarnya.

Di tengah-tengah bendera itu dimasukkan lambang negara yang berwarna merah.

Jari-jari telunjuk pada tangan-tangan yang tegak ke atas menjunjung lambang yang berwarna merah itu adalah sama jaraknya dari kiri kanan bendera itu, iaitu 24 inci.

Cogan kata negara adalah disatukan dalam lambang itu: Ditulis dalam bahasa Arab dengan berwarna kuning ia bermakna ‘Sentiasa membuat kebajikan dengan petunjuk Allah’.

Empat jenis warna telah dimasukkan ke dalam bendera itu, merah untuk lambang , kuning untuk empat persegi ganjil, putih untuk empat persegi condong di atas dan hitam untuk empat persegi condong di bawah.


Lambang rasmi Negara Brunei Darussalam diperolehi dari lambang Diraja. Keasliannya masih dapat mempertahankan statusnya sebagai salah satu daripada lambang-lambang Diraja.

Lambang rasmi yang ada pada masa kini telah pun dicapkan di atas Bendera Rasmi Negara Brunei Darussalam selepas Permasyhuran Perlembagaan Bertulis Brunei pada tahun 1959.

Lambang rasmi Negara Brunei Darussalam mengandungi:

1.Bendera
2.Payung Ubor-ubor
3.Sayap
4.Tangan (Kimhap)
5.Bulan

Bendera dan Payung Ubor-ubor telah menjadi alat kebesaran Kerajaan Negara Brunei Darussalam sejak terbentuknya lambang rasmi ini.

Sayap - Merupakan sayap kepada keempat-empat bulu dan ia melambangkan perlindungan keamanan, ketenangan, kemajuan dan kemakmuran di dalam negeri.

Tangan atau Kimhap - Melambangkan jaminan kerajaan untuk memperbaiki kebajikan, keamanan dan kemakmuran negara.

Bulan - Merupakan simbol Islam, agama rasmi Negara Brunei Darussalam.

Cogan kata di lambang tersebut adalah ditulis ‘Sentiasa membuat kebajikan dengan petunjuk Allah’.

Tulisan di bawah lambang berbunyi ‘Brunei Darussalam’ yang bermaksud ‘Brunei Rumah Keamanan’.

Ekonomi
​Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang kecil namun kekayaan ekonominya merangkumi keusahawanan dari luar dan dalam negara. Sebahagian besarnya disokong oleh eksport minyak mentah dan gas cecair asli hasil daripada sektor petroleum yang dianggarkan berjumlah lebih separuh daripada Gross Domestic Product (GDP) negara.

Mata Wang
​Unit kewangan bagi Negara Brunei Darussalam adalah Ringgit Brunei dan ditulis sebagai BND. Ia ditetapkan kepada nilai Dollar Singapore (SD). Kedua-dua mata wang tersebut, iaitu BND dan SD boleh digunakan di Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.